Sunday, November 14, 2010

Menarik today: Jadikan kekayaan itu menjadi medan berbuat amal yang membuahkan pahala.

Sebagai manusia, Allah SWT mengizinkan kita mencintai dunia. Mana 
mungkin kita membenci dunia, kerana ia adalah sebahagian daripada 
diri kita. Kita adalah makhluk yang mendiami dunia ini. Allah SWT 
menyebut di dalam al-Quran, yang mafhum-Nya:

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa 
yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak 
daripada jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak 
dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi 
Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga),” (Ali ‘Imran: 14)

Kecintaan kepada dunia dibolehkan, selagi mana ia tidak 
mengkesampingkan kecintaan kepada Allah SWT. Dalam bahasa yang 
sering diungkap, cinta dunia cinta yang fana; cinta Allah cinta 
yang baqa. Maka, seiring dengan kecintaan ini juga, kita selalu 
diperingatkan oleh Allah SWT: “Dan di antara manusia ada orang-
orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka 
mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-
orang yang beriman sangat cinta kepada Allah,” (al-Baqarah: 165)

Untuk melentur kecintaan terhadap dunia ini, maka Islam 
menggalakkan kita agar bersifat zuhud terhadapnya. Zuhud adalah 
salah satu daripada didikan sifat-sifat mahmuda (terpuji). 
Menjiwainya mampu melunakkan hati. Baiklah, mari kita cermati 
ungkapan Ibnu Jauzi mengenai kemelut cinta dunia dan zuhud:

“Perumpamaan orang yg mencintai dunia seperti orang yang menanam 
benih tapi tak kunjung ada hasil. Orang yg hatinya mencintai 
dunia, jasadnya kamu lihat melakukan ibadah sepanjang usianya 
untuk mendekatkan diri kepada Allah; tetapi hatinya menjauhkan 
dirinya dari Allah. Sesungguhnya kamulah pemimpin yang mengatur 
dunia ini dengan zuhudmu yang mampu menundukkannya. Dan kamu akan 
jadi budaknya jika kamu merindukan dunia. Sungguh, orang yang 
merindu kepada sesuatu yang dikehendaki hawa nafsu, berarti ia 
menjadi hamba baginya.”

Tanpa prejudis, sering kali kalimah zuhud disalah ertikan sebagai 
jalan yang diambil oleh orang-orang agama yang meminggirkan dunia 
dalam hidupnya. Akibatnya, ada orang yang hidup ala kadar, 
berkereta seadanya sahaja dan sebagainya lagi dianggap zuhud. 
Mereka ini kononnya bila makan, nasinya berlaukkan garam, bila 
tidur beralaskan lengan, maka zuhudlah itu.

Hakikatnya, zuhud bukanlah seperti yang digambarkan. Zuhud bukan 
seperti itu. Zuhud di sisi Islam bermakna, kita memiliki dunia dan 
segala isinya; tetapi semua itu diletakkan di tangan; bukannya di 
hati. Si kaya boleh kekal kaya; tetapi hatinya tidak leka. 
Sebaliknya, kekayaan itu menjadi medan berbuat amal yang 
membuahkan pahala.

Dalam sejarah, ada seorang khalifah yang pernah memerintah sebuah 
kerajaan yang besar. Namun, kehidupannya amat sederhana. Baginda 
menolak kemewahan melampau, meminimakan keraian diraja dan 
sebagainya lagi. Baginda sebaliknya mempromosikan kehidupan yang 
sederhana, dengan melazimkan diri dan keluarganya hidup sebagai 
‘orang biasa.’ Namanya terkenal sekali, tidak lain tidak bukan, 
bagindalah Khalifah Umar bin Abdul Aziz r.a, yang memerintah pada 
tahun 99 – 101 hijrah daripada Dinasti Umayyah.

Sesungguhnya, Khalifah Umar Abdul Aziz adalah contoh manusia 
zuhud. Dunia dan isinya terbentang di depan mata; baginda boleh 
menikmatinya dan tenggelam dalam busa kemewahan – jika baginda 
mahu. Tetapi, baginda meletakkan semua itu hanya di hujung jari-
jemarinya; tidak menyelaputi mata hatinya. Maka, baginda kekal 
sebagai manusia berjiwa merdeka yang tidak ditakluk dunia. Jika 
dikaitkan dengan madah Ibnu Jauzi, maka Umar Abdul Aziz adalah 
manusia merdeka dan bukannya hamba dunia!

Dalam kerangka yang lebih luas, baginda Rasulullah SAW adalah 
model manusia yang paling jelas kezuhudannya. Baginda zuhud, 
sedangkan baginda kaya. Baginda s.a.w boleh memiliki 1/5 harta 
rampasan perang, jika baginda mahu. Baginda boleh memiliki gunung 
emas, sebagaimana yang ditawarkan Jibril; namun baginda enggan. 

Baginda boleh menguasai segala kekayaan Jazirah Arab jika itu yang 
nabi inginkan, tetapi nabi memilih kesederhanaan.
Inilah penawar kecintaan dunia, zuhud namanya. Zuhud menjadikan 
kita manusia yang tidak mudah kecewa bila harta luput daripada 
pandangan dan tidak pula lupa diri bila ia dating sebagai ujian. 

Firman Allah SWT, mafhum-Nya: “Supaya kamu tidak bersedih hati 
akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira 
dengan apa yang diberikan kepada kamu.” (al-Hadid: 23). 

Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment